Wednesday, August 26, 2009

Menyambut Ramadhan Mubarak

Sudah masuk enam hari kita berpuasa, Mereka yang tidak tahan kerana uzur tentu sudah mulai goyang hati manakala yang kukuh iman sudah mulai berasa seperti biasa saja, tidak terganggu untuk melakukan semua urusan biasa tanpa berasa letih atau lesu. Surau dan masjid nampaknya sudah menjadi penuh dan wajah yang jarang-jarang nampak pun sudah timbul semula.

Sembahyang Terawih ada yang 8 rakaat saja ada yang 20, 11 atau 23 termasuk sembahyang Witir. Ada imam yang membaca surah-surah pendek saja dan ada pula yang membaca dari al-Quran dengan al-Quran terbentang di atas 'lectern' di hadapan mereka. Memang panjang-panjang ayat yang dibaca untuk sesuatu rakaat, sampai kaki berasa sengal. Jika bacaannya laju dan fasih seperti Imam di Mekah, ok juga. Tapi jika bacaannya perlahan, berulang-ulang kerana tidak cukup nafas untuk berhenti ditempat sepatutnya, atau tersasul kerana kehilangan baris yang dibaca, memang menduga kesabaran makmum. Kasihan kepada mereka yang sudah berumur dan agak uzur.Apalagi jika dibuat 8 rakaat saja dengan bacaan ayat-ayat panjang, tanpa pilihan untuk berhenti.

Ada surau atau masjid yang mengadakan bacaan tahlil sesudah sembahyang Terawih dan Witir. Tentu makmum sudah letih betul. Tidakkah lebih baik jika tahlil itu diadakan setengah jam sebelum waktu berbuka? Selesai tahlil terus berbuka, sembahyang Maghrib, kemudian makan nasi. Kalau makan sebelum Maghrib, tentu mengah. Namun, Islam memberi banyak pilihan dan terserahlah kepada JK Masjid atau Madrasah untuk menentukan peratoran yang disenangi asalkan mengikut Sunnah.

Berbuka puasa di Surau atau Masjid di kampung-kampung masa dahulu adalah merupakan peluang menjamu selera dengan berbagai-bagai juadah yang tidak akan dapat dinikmati jika berbuka di rumah saja. Tapi kini sudah terbalik. Kalau berbuka di rumah boleh beli dan makan apa saja yang teringin, semewah yang diingini. Kalau di Surau atau Mesjid tentulah terbatas kepala pilihan Penderma atau JK. Mungkin tidak semewah berbuka di rumah. Namun pahalanya tentu lebih besar seperti juga sembahyang berjemaah. Inilah suatu petanda perubahan masa. Hanya mereka yang masih hidup dalam kesukaran akan mendapati berbuka puasa di Surau atau Masjid lebih mewah dan meriah.

Apapun, selamat berpuasa dan membanyakkan amal ibadah di bulan yang amat mulia ini. Muga-muga segala kekurangan dalam memenuhi tuntutan ibadah di bulan-bulan yang lain dapat diimbuhi degan ibadah tambahan dalam bulan Ramadhan ini. Dan jika dapat menemui Malam Lailatulkadar dengan amal ibadah yang penuh, maka
ia akan menyerupai seribu malam yang biasa. Subhanallah.

No comments:

Post a Comment