Wednesday, August 26, 2009

Menyambut Ramadhan Mubarak

Sudah masuk enam hari kita berpuasa, Mereka yang tidak tahan kerana uzur tentu sudah mulai goyang hati manakala yang kukuh iman sudah mulai berasa seperti biasa saja, tidak terganggu untuk melakukan semua urusan biasa tanpa berasa letih atau lesu. Surau dan masjid nampaknya sudah menjadi penuh dan wajah yang jarang-jarang nampak pun sudah timbul semula.

Sembahyang Terawih ada yang 8 rakaat saja ada yang 20, 11 atau 23 termasuk sembahyang Witir. Ada imam yang membaca surah-surah pendek saja dan ada pula yang membaca dari al-Quran dengan al-Quran terbentang di atas 'lectern' di hadapan mereka. Memang panjang-panjang ayat yang dibaca untuk sesuatu rakaat, sampai kaki berasa sengal. Jika bacaannya laju dan fasih seperti Imam di Mekah, ok juga. Tapi jika bacaannya perlahan, berulang-ulang kerana tidak cukup nafas untuk berhenti ditempat sepatutnya, atau tersasul kerana kehilangan baris yang dibaca, memang menduga kesabaran makmum. Kasihan kepada mereka yang sudah berumur dan agak uzur.Apalagi jika dibuat 8 rakaat saja dengan bacaan ayat-ayat panjang, tanpa pilihan untuk berhenti.

Ada surau atau masjid yang mengadakan bacaan tahlil sesudah sembahyang Terawih dan Witir. Tentu makmum sudah letih betul. Tidakkah lebih baik jika tahlil itu diadakan setengah jam sebelum waktu berbuka? Selesai tahlil terus berbuka, sembahyang Maghrib, kemudian makan nasi. Kalau makan sebelum Maghrib, tentu mengah. Namun, Islam memberi banyak pilihan dan terserahlah kepada JK Masjid atau Madrasah untuk menentukan peratoran yang disenangi asalkan mengikut Sunnah.

Berbuka puasa di Surau atau Masjid di kampung-kampung masa dahulu adalah merupakan peluang menjamu selera dengan berbagai-bagai juadah yang tidak akan dapat dinikmati jika berbuka di rumah saja. Tapi kini sudah terbalik. Kalau berbuka di rumah boleh beli dan makan apa saja yang teringin, semewah yang diingini. Kalau di Surau atau Mesjid tentulah terbatas kepala pilihan Penderma atau JK. Mungkin tidak semewah berbuka di rumah. Namun pahalanya tentu lebih besar seperti juga sembahyang berjemaah. Inilah suatu petanda perubahan masa. Hanya mereka yang masih hidup dalam kesukaran akan mendapati berbuka puasa di Surau atau Masjid lebih mewah dan meriah.

Apapun, selamat berpuasa dan membanyakkan amal ibadah di bulan yang amat mulia ini. Muga-muga segala kekurangan dalam memenuhi tuntutan ibadah di bulan-bulan yang lain dapat diimbuhi degan ibadah tambahan dalam bulan Ramadhan ini. Dan jika dapat menemui Malam Lailatulkadar dengan amal ibadah yang penuh, maka
ia akan menyerupai seribu malam yang biasa. Subhanallah.

Wednesday, August 19, 2009

Siapa Masuk Syurga?

Surat khabar dan tv heboh membicarakan soal siapa yg boleh dan siapa yg tak boleh masuk syurga, ekoran penegasan mursyidul PAS tokguru Nik Aziz bahawa penyokong UMNO tidak akan dapat masuk syurga. Nik Aziz terus dituduh sudah melampau kerana hanya Allah yang boleh menentukan siapa yg masuk syurga dan siapa masuk neraka.

Semua umat Islam tentu tahu bahawa hanya Allah yg berhak menentukan siapa yang akan masuk syurga itu. Sudah pun diterangkan di dalam al-Quran sifat orang-orang yang akan masuk syurga - yang beriman, taqwa, ikhlas, tidak menipu,tidak menganiaya sesama manusia, tidak membuat kesosakan di dunia, mengerjakan amar makruf dan menjauhi nahi mungkar, tidak mendustakan ayat-ayat Allah, tidak menyekutukanNya...seterusnya diberikan buku catitan amalannya dengan tangan kanan (kitab Illiyiin) manakala yang menerimanya dari tangan kiri ( kitab Sijjiin) kan ke neraka.

Kenapa heboh-heboh lagi mengenainya sedangkan keadaan negara dan masyarakat (Melayu klhusus) menghadapi berbagai-bagai masalah yang mendesak? Cukuplah jika dikatakan Nik Aziz membuat timbangannya mengikut persepsinya mengenai penyokong2 UMNO dibandingkan dengan kandidat2 syurga yang disebutlah di dalam al-Quran. Persepsi itu pasti dipengaruhi oleh pendirian politiknya. Jujur atau tidak, ikhlas atau tidak, berlawanan dengan ajaran Islam atau tidak, biarlah Allah yang menentukan. Ulamak UMNO juga tidak boleh menjatuhkan hukuman.

Janganlah orang2 Melayu heboh mengenai kelayakan masuk syurga akhirat yg sudah dijelaskan oleh al-Quran, sedang kedudukan mereka di dunia di sisi rakyat selainnya sudah membimbangkan. Berapa ramai yang menjadi kayaraya kerana berniaga ( menetukan 9/10 dari rezki) dan bukan kerana berpolitik? Berapa ramai yang menambah nilai kepada barangan dan hasil bumi, bukan mengutip untung dari hasil usaha orang lain?

Mengapalah Ulamak-ulamak kita hendak bermuzakarah dan mengeluarkan fatwa baru mengenai soal siapa boleh masuk syurga dan siapa yang akan masuk neraka. Al-Quran dan Hadis sudah cukup untuk menjelaskannya. Tak perlu ditukuk tambah lagi. Carilah jalan untuk membebaskan jiwa dan pemikiran umat dari bidaah dan khurafat agar dapat hidup lebih mulia dalam negara sendiri, tidak menjadi 'yurauun' serta 'mauun' atau peminta-minta dalam negara yang kaya.

Friday, August 7, 2009

Masjid dan Surau (Madrasah).

Mulai bulan Syaaban ini dan memuncak dalam bulan Ramadhan, masjid dan madrasah-madrasah akan dibanjiri manusia Muslimin.Yang jarang-jarang ke masjid atau surau pun akan mulai hadir untuk turut serta dalam majlis berbuka puasa dan morei.


Saya memang rasa lebih seronok pergi ke madrasah atau surau saja. Yang paling dekat ke rumah tentunya. Kita kenal semua hadhirin (dan separuh dari hadhirat). Sambil berbuka puasa atau menunggu kamat untuk solat, perbualan akan berjalan dengan rancak mengenai apa saja - penuh kemesraan dan gelak ketawa. Terasa hubungan silaturrahim menjadi begitu erat.

Perkumpulan di masjid tentunya lebih besar. Tetapi sentiasa ramai yang tidak dikenali sangat dan berbual pun lebih bercorak 'making conversation' dari bergurau senda dan berjenaka. Jika ada kalanya terselit antara orang-orang yang tak dikenali dan tak pula begitu peramah, akan muram sajalah suasana perhimpunan pada malam itu. Mungkin wirid, ratib dan solat akan menjadi lebih khosyok kerana tiada gangguan kawan-kawan dan kenalan rapat. Mungkin ia akan memberi peluang berkenalan dengan
orang-orang baru. Tetapi setiap majlis yang sunyi dari senda gurau dan gelak ketawa akan berasa lebih 'kering' dan membosankan.

Benar kita ke masjid dan surau untuk mendekati Allah. Tatapi menhampiri Allah dengan orang-orang yang kita sedia kenal mesra
tentu lebih memberi kesan dan menjadi ingatan. Selamat menyambut kedatangan bulan Ramadhan dan selamat berpuasa.